IPOH, 16 Feb – Kerajaan negeri Perak melantik seramai 286 Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini dengan tempoh pelantikan berkuat kuasa hingga 15 Feb tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelantikan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) semalam dan baki 39 lagi Ahli Majlis PBT akan dicadangkan pada fasa dua pelantikan.

“Daripada 286 orang Ahli Majlis yang dilantik, seramai 215 adalah lelaki manakala 71 orang adalah wanita,” katanya pada sidang media Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan pengisian kuota 325 Ahli Majlis PBT pada tahun ini mengikut Garis Panduan Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023, yang antara lain menyebut calon mestilah berusia antara 18 hingga 65 tahun, sihat tubuh badan serta tidak mempunyai rekod jenayah atau tindakan tatatertib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here