ISTANBUL, 22 Feb – Meskipun berhadapan kesusahan di negara sendiri akibat perang, rakyat Yaman tetap menunjukkan sokongan dan solidariti yang luar biasa terhadap mangsa dua gempa bumi kuat yang mengorbankan ribuan penduduk di Türkiye.

Susulan bencana gempa bumi pada 6 Feb lepas, masyarakat Yaman melancarkan kempen derma sebagai balasan kepada Türkiye yang menghulur bantuan kemanusiaannya ke negara asal mereka yang dilanda perang saudara sejak lebih lapan tahun lepas, lapor Anadolu Agency.

Kempen Yaman yang dilancarkan dengan kerjasama Kedutaan Yaman di Ankara, mengumpul 17 juta lira Turki (kira-kira AS$900,000), menurut laporan itu.

Pada 18 Feb lepas, komuniti Yaman menghantar 10 trak yang sarat dengan bahan makanan, perubatan dan tempat perlindungan, dari Istanbul ke kawasan yang dilanda gempa bumi di selatan Türkiye.

“Kami tidak boleh membalas budi Turkiye yang sangat besar. Ini hanyalah bantuan sederhana dan ekspresi simbolik terhadap usaha tanpa henti Türkiye yang masih menghulur bantuan kepada rakyat Yaman,” kata Nabila Saeed Al- Rabasi, jurucakap kempen itu kepada Anadolu.

“Türkiye menyediakan bantuan kepada rakyat Yaman melalui pelbagai organisasi bagi meringankan penderitaan penduduk,” katanya.

“Türkiye juga melindungi beribu-ribu rakyat Yaman yang mencari perlindungan di negara itu sejak meletusnya perang.”

Pada 13 Feb, aktivis Yaman yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkol Karman, mengumumkan bantuannya untuk membina semula 50 unit rumah yang apabila siap akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD).

Yayasan Tawakkol Karman juga menghantar konvoi bantuan pada Rabu dari Istanbul ke bandar Hatay di Turkiye.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here