KUALA LUMPUR, 24 Feb – Powerwell International Sdn Bhd optimis bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negara berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menggalakkan ketelusan dalam tadbir urus korporatnya susulan Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini.

Pengarah Urusannya Datuk Adam Yee berkata perlanjutan taraf perintis dan elaun cukai pelaburan untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027 adalah antara inisiatif penting bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) dan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk melabur dalam teknologi.

“Selain itu, dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga 2024, lebih banyak syarikat dalam industri E&E dapat menerima manfaat daripada pengecualian atau pengurangan cukai susulan pelaburan mereka di negara ini.

“Ini juga akan menggalakkan pelabur asing untuk meneruskan pelaburan di Malaysia dan membantu negara ini untuk kekal berdaya saing di pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yee berkata perlanjutan tempoh permohonan insentif bagi elaun cukai pelaburan hijau dan pengecualian cukai pendapatan hijau sehingga 31 Dis 2025 pula akan mendorong syarikat daripada pelbagai industri untuk meneroka aktiviti hijau yang dibenarkan seperti aktiviti solar dan sistem simpanan tenaga bateri.

“Ia akan menyumbang ketara kepada peningkatan penggunaan langkah-langkah tenaga boleh baharu memandangkan lebih banyak syarikat Malaysia mula mengamalkan strategi kemampanan dalam organisasi,” katanya.

Menurutnya peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana  mengautomasikan dan mendigitalkan perniagaan serta RM100 juta untuk menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana serta penjaja kecil, akan membantu lebih banyak syarikat mempercepat perjalanan transformasi digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here