GEORGE TOWN, 27 Feb – Sime Darby Auto Bavaria Sdn Bhd (Auto Bavaria), rangkaian terbesar wakil pengedar sah untuk pengeluar kereta premium BMW, BMW Motorrad dan MINI di wilayah utara Malaysia, telah melancarkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) pertama untuk jenama MINI di Gurney Plaza Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Vi Thim Juan berkata MINI Electric menguasai lebih 30 peratus daripada model MINI yang diserahkan oleh Auto Bavaria Pulau Pinang pada 2022, mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan EV di wilayah itu.

“Kemudahan baharu untuk mengecas kenderaan MINI (di aras enam) Gurney Plaza bertujuan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk EV ini selain menawarkan lebih banyak akses kepada pengecasan awam di negeri-negeri bahagian utara.

“Gurney Plaza adalah lokasi yang ideal untuk kemudahan pengecasan kami kerana ia adalah pusat beli-belah popular yang terletak strategik di tengah-tengah Pulau Pinang, menjadikan lokasi itu mudah untuk pemilik EV mengecas kenderaan mereka semasa mereka membeli-belah di gedung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Auto Bavaria berkata kemudahan pengecasan itu menampilkan tiga unit MINI Gen 3 Wallbox, yang mampu mengecas kedua-dua kenderaan hibrid elektrik dan plug-in sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here