SEREMBAN, 28 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2023/2026.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Mustafa Salim, berkata Mohamad mengekalkan jawatan tersebut yang disandangnya sejak 2003 selepas menjadi calon tunggal mengemukakan permohonan untuk jawatan itu apabila pencalonan ditutup kelmarin.

“Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Ahli Parlimen Tampin) turut menang tanpa bertanding untuk jawatan masing-masing.

“Ini kerana mereka sentiasa berada di lapangan, jadi tiada yang menandingi, lebih-lebih mereka berpengalaman banyak dalam politik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mustafa juga mengesahkan dirinya dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop bersaing bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Beliau berkata Ahli Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin ‘berentap’ bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jempol iaitu sebelum ini disandang Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.

Sementara itu, jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah pula ditandingi ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim dan Naib Ketua, Khairolnezam Shaari manakala UMNO Bahagian Port Dickson menyaksikan perebutan antara ketuanya, Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar.

Mustafa berkata Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi pula berdepan dua pesaing iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd Helmy Din dan Hanizam Abd Razak bagi bahagian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here