IPOH, 6 Mac – Perak merekodkan peningkatan jumlah kumulatif kes demam denggi iaitu 457 kes setakat 4 Mac tahun ini berbanding hanya 96 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 376.04 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A. Sivanesan berkata selain faktor cuaca hujan tidak menentu, musim cuti persekolahan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan jumlah tersebut.

Sivanesan berkata rekod sebelum ini menunjukkan kes akan meningkat apabila tiba musim cuti sekolah seiring peningkatan pergerakan masuk orang ramai dari negeri luar ke Perak.

“Macam kita tahu Selangor tidak terkecuali daripada menghadapi (peningkatan) kes demam denggi. Contohnya, ada individu dari kawasan titik panas demam denggi di Selangor dan kemudian datang ke Perak.

“Apabila individu itu dirawat di Perak selepas mengalami demam ia akan direkodkan sebagai kes demam denggi di Perak dan bukan Selangor, ia pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja di Bangunan Persekutuan hari ini.

Sivanesan berkata jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-9 tahun ini iaitu 26 Feb sehingga 4 Mac mencatatkan penurunan kepada 63 kes berbanding 87 kes pada ME sebelumnya.

“Penurunan kes sebanyak 27.6 peratus itu menunjukkan situasi demam denggi di Perak masih terkawal selain tidak merekodkan sebarang kes kematian.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here