KUALA LUMPUR, 7 Mac – Sime Darby Plantation Bhd (SDP) mahu menjadi tunjang penggunaan mekanisasi, automasi dan pendigitalan dalam perladangan kelapa sawit ketika negara berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata sejajar dengan aspirasi itu, SDP menyasarkan 100 peratus pekerja tempatan menjelang hujung 2027, dengan gaji minimum RM3,000.

“Objektif akhirnya adalah untuk mengurangkan tenaga kerja dan sebolehnya mahu mengupah penduduk tempatan.

Mohamad Helmy berkata walaupun ia adalah sasaran yang agak tinggi, di sinilah SDP bergerak kerana mahu mengambil pekerja Malaysia serta mengubah persepsi sektor perladangan, yang dilihat orang ramai sebagai “pekerjaan 3D” yakni sukar, berbahaya dan kotor.

“Beri kami dua hingga tiga tahun lagi memandangkan kami sekarang sedang membuat ujian dalam mencari beberapa penyelesaian termasuk bekerjasama dengan pemula niaga tempatan tentang bagaimana kami boleh menggunakan dron, lengan robotik, robot tanpa pemandu, sistem pengesanan termasuk pelbagai komponen dan bahagian teknologi lain dalam penuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pameran Persidangan Unjuran Harga Minyak Laurik Sawit ke-34 (POC2023) dalam sesi panel mengenai Keperluan Inovasi Teknologi untuk Mengubah Industri Kelapa Sawit Malaysia.

Dengan mengguna pakai teknologi terkini bagi menyenangkan kerja yang payah, sektor tersebut akan mampu menarik minat generasi muda, katanya lagi.

Pada masa sama, peningkatan automasi akan membolehkan SDP mencapai tahap produktiviti yang lebih tinggi di samping menjimatkan masa dan kecekapan berbanding penggunaan buruh manual.

Mohamad Helmy menjelaskan sebelum pandemik Covid-19, SDP mempunyai nisbah 1:10 hektar (seorang pekerja bagi setiap 10 hektar) di ladang kelapa sawitnya.

SDP menyasarkan untuk mencapai nisbah 1:17.5 hektar daripada nisbah semasa 1:15 hektar.

“SDP mempunyai 75 peratus buruh asing sebelum Covid-19 tetapi sekarang ini, ia telah dikurangkan kepada 60 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here