MELAKA, 8 Mac – Polis Kontinjen Melaka akan melakukan pemeriksaan dan saringan secara rawak dari semasa ke semasa bagi menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata pemeriksaan dilakukan termasuk ketika perhimpunan pagi atau pada bila-bila masa dan tempat melibatkan semua jabatan dan unit.

“Kita akui mungkin ada yang terlibat dengan dadah namun setakat ini di Melaka, tiada anggota dan pegawai yang dikesan. Bagaimanapun kita akan sentiasa melakukan pemeriksaan sebagai cara memberitahu bahawa mereka ini sentiasa dipantau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Kempen Derma Darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 peringkat Melaka di sini hari ini.

Pada kempen itu lebih 100 pegawai dan anggota polis kontinjen Melaka menderma darah dan menjalani saringan kesihatan.

Mengulas mengenai tahap kesihatan mental pegawai dan anggota polis khususnya di Melaka, Razali berkata pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi menyedarkan mereka tentang kepentingan kesihatan mental yang baik.

“Mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mempunyai Unit Kaunseling bagi membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah tingkah laku berkaitan dengan masalah mental.

“Di bawah unit ini juga, kita selalu adakan kempen kesedaran dan pendedahan berkaitan kesihatan mental. Seperti baru-baru ini, hampir 100 pegawai dan anggota menyertai kempen bagi menyedarkan mereka betapa perlunya berkomunikasi, beramah mesra, bercampur gaul bagi mengelak kemurungan atau rasa keseorangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here