SEGAMAT, 12 Mac – Sebanyak 1,249 tan sampah di kutip di seluruh negeri kesan bencana banjir sejak 3 Mac lalu, peningkatan empat kali ganda berbanding biasa.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md. Shukor, berkata kira-kira 160 tan sisa pepejal pukal dikutip setiap hari.

“Ada banyak lagi kediaman yang masih mempunyai sisa pukal pepejal.

“Di peringkat kerajaan negeri bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), kita meminta bantuan daripada konsesi luar Johor kerana fasiliti kenderaan yang ada tidak mencukupi dan terpaksa mohon bantuan.

“Di peringkat keseluruhan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak terbabit dengan banjir, kita telah pun membawa semua kenderaan ke Segamat dan Chaah. Jadi proses pembersihan ini mungkin memakan masa antara tujuh hari sehingga 14 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tapak Pengumpulan Sisa Pasca Banjir di Chaah, Segamat di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya melaksanakan mobilasi sumber perkhidmatan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah pasca banjir terutama di Segamat, Tangkak, dan Chaah.

Bantuan daripada pelbagai pihak termasuk PBT yang tidak terkesan banjir digunakan bagi menambah jumlah kutipan sampah kepada 300 tan sehari berbanding 160 tan.

“Sampah pasca banjir itu akan dibawa ke Tapak Pelupusan Sampah Moakil dan menggunakan kaedah kambus tanah,” katanya.

Di samping itu katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menambah jumlah pam bagi mengepam air di kawasan Batu Pahat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here