KUALA LUMPUR, 13 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus bagi tahun 2022 melibatkan jumlah pembayaran bernilai RM476.45 juta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu berkata kadar dividen tersebut meningkat 0.9 peratus berbanding 2021.

“Ini mengambil kira suasana pasaran dan suasana sistem kewangan negara yang belum pulih.. akibat berdepan pandemik COVID-19, tetapi atas pengurusan cekap LTAT mereka telah dapat pulangan baik daripada pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan pengurusan LTAT supaya tidak mendedahkan tabung itu kepada pelaburan berisiko tinggi dan mengekalkan prinsip tabungan selamat kepada pencarum.

“LTAT ini badan yang ditubuhkan mengikut Akta Parlimen untuk angkatan tentera mencarum untuk masa depan mereka. Jadi, LTAT ada peranan besar iaitu pertama, pastikan caruman mereka ini selamat dan kedua pastikan supaya caruman mereka mendatangkan pulangan. Biar tak lumayan, asalkan memadai,” katanya.

Pengkreditan dividen itu kepada 122,935 pencarum telah dibuat Jumaat lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here