PONTIAN, 18 Mac – Lebih 100,000 perwakilan membabitkan 189 bahagian UMNO seluruh negara melaksanakan tanggungjawab memilih sekali gus menentukan kepimpinan peringkat bahagian, Majlis Kerja Tertinggi (MKT)dan Naib Presiden UMNO, bermula jam 9 pagi ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan pemilihan hari ini dijangka mula diketahui seawal jam 10 malam ini.

Katanya, secara purata setiap bahagian mempunyai perwakilan antara seramai 500 hingga 700 orang, yang akan membuat pemilihan dan dijangka selesai menjelang petang ini.

“Daripada 191 UMNO bahagian yang ada terdapat dua bahagian tidak akan mengadakan persidangan perwakilan UMNO bahagian pada tahun ini iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.

“UMNO Bahagian Tanah Merah, masih digantung sejak 16 Jun 2020, manakala UMNO Bahagian Kota Kinabalu disebabkan masalah UMNO cawangan di bahagian itu.

“Kita jangka semua proses pemilihan termasuk pengiraan akan selesai menjelang jam 10 malam ini, dengan keputusan rasmi diumum secara berperingkat selepas itu sehingga tengah malam,” katanya.

Difahamkan, pemilihan UMNO di 189 bahagian berjalan lancar setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here