SHAH ALAM, 20 Mac – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), agensi dan anak syarikatnya serta Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS) hari ini menyumbang sebanyak RM141,359 bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir buruk di Johor baru-baru ini.

Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM91,359 diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam bentuk tunai dan selebihnya iaitu RM50,000 dalam bentuk 500 kotak makanan asas.

Beliau berkata sumbangan tersebut diserahkan terus kepada MAINJ di Pejabat Daerah Batu Pahat, Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail, Jalan Bakau Chondong, Batu Pahat Johor untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sana.

“Sumbangan tersebut adalah tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir di samping memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu berkaitan keperluan mangsa bagi meringankan bebanan mereka,” katanya.

Ahmad Shahir memaklumkan Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini turut melancarkan majlis pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi, anak syarikat MAIS dan JHEIS ke Johor bagi menyerahkan sumbangan tersebut.

Seramai 29 orang menyertai konvoi berkenaan terdiri daripada pelbagai agensi dan syarikat di Selangor dengan diketuai oleh Ahmad Shahir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here