KUALA LUMPUR, 20 Mac – ASEAN perlu terus berusaha menangani isu konflik di Myanmar secara bijaksana dan berhati-hati bagi memastikan kestabilan di rantau ini dikekalkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata sekiranya ASEAN gagal menangani situasi di Myanmar secara bersama, ia akan menimbulkan campur tangan kuasa luar yang kini sedang ‘mengintai’ untuk masuk ke negara itu pada bila-bila masa.

“Sekiranya kita gagal menangani dalam konteks ASEAN, ia akan menimbulkan permasalahan yang datangnya bukan dalam lingkungan ASEAN, sebaliknya ada usaha-usaha pihak tertentu untuk cuba masuk ke Myanmar dan akan berlaku satu perlumbaan dan menguasai geopolitik di kawasan berkenaan.

“Disebabkan itu pendekatan yang dibuat dalam konteks Myanmar ini perlu diselesaikan secara ASEAN dan ia tidak boleh dilakukan oleh satu negara ini sahaja tanpa membincangkan dalam konteks negara ASEAN lain,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu langkah drastik kerajaan dalam menangani isu konflik di Myanmar.

Mengulas lanjut, Zambry berkata ASEAN menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha mencari penyelesaian konflik Myanmar menerusi pengukuhan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN yang dipersetujui pada Februari lepas.

“Ada keutamaan lain yang perlu diberikan perhatian terutama hubungan konteks ekonomi ASEAN dan dalam masa sama, perlu kita kukuhkan usaha-usaha kita berdasarkan kepada 5PC ASEAN yang dipersetujui kerana ia mempunyai matlamat jangka pendek dan panjang untuk diteruskan.

“Kita perlu teruskan usaha dan jangan kecewa kerana kita perlu elakkan isu Myanmar ini menjadi satu lagi ‘flash-point’ (punca meletus sengketa) di rantau kita dan insya-Allah ia tak berlaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here