BATU PAHAT, 23 Mac – Mangsa banjir di Johor yang layak boleh memohon empat kategori bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABN) yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak Dan Tugas-tugas Khas Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia terdiri daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI), wang ihsan kematian, bantuan pembelian barangan keperluan dan bantuan baik pulih kecil rumah.

Beliau berkata BWI diberikan kepada setiap isi rumah yang terkesan berjumlah RM1,000 manakala bantuan wang ihsan kematian merujuk kepada pemberian RM10,000 sekiranya berlaku kematian akibat bencana banjir.

“Dua lagi bantuan tambahan ialah pembelian barangan keperluan asas sehingga RM2,500 dan bantuan baik pulih kecil rumah sehingga RM5,000,” katanya.

“Meskipun banjir masih lagi berlaku di beberapa daerah di Johor, agensi kerajaan di peringkat daerah sedang giat mengenal pasti Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat. BWI juga telah mula diagihkan kepada mangsa yang layak, dan pemberiannya dijangka selesai awal April ini,” katanya.

Armizan berkata proses penyaluran bantuan dan senarai penerima bantuan yang berpindah ke PPS akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here