KUALA LUMPUR, 30 Mac – Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia telah melancarkan perkhidmatan panggilan melalui aplikasi airasia Super App bagi membolehkan pelanggan berbual secara terus dengan pegawai perkhidmatannya untuk mendapatkan penyelesaian segera bagi situasi yang mendesak.  

Syarikat penerbangan itu berkata ciri-ciri itu membolehkan tetamu atau pelanggan bercakap secara terus dengan ejen manusia semasa interaksi “Ask Bo Live Chat” mereka untuk penyelesaian segera.

Akses kepada fungsi panggilan ini akan dibuka kepada tetamu di penghujung interaksi mereka dengan bot sembang Ask Bo jika kes mereka dikenal pasti memerlukan penyelesaian segera atau kritikal, seperti penerbangan yang akan berlepas dalam tempoh 24 jam atau jika terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan secara tiba-tiba atas sebab perubatan atau kecemasan.

Untuk pertanyaan am dan isu yang tidak memerlukan penyelesaian segera, AirAsia menggalakkan para tetamunya untuk menggunakan kemudahan layan diri dan bantuan sembang langsung yang tersedia pada airasia Super App dan bot sembang Ask Bo. 

AirAsia juga memperkenalkan ciri penjejakan tuntutan bayaran balik melalui airasia Super App dan laman webnya. Tetamu hanya perlu menekan butang ‘My Cases’ dan memasukkan nombor kes mereka bagi mendapatkan status terkini permintaan pemulangan balik mereka dengan lebih terperinci. 

Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group Kesavan Sivanandam berkata perkhidmatan ini tersedia dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Cina, Thai dan Bahasa Indonesia.

“Ejen sembang langsung kami telah dilatih untuk menangani situasi mendesak dan memberikan bantuan terbaik mengikut keperluan para tetamu.

“Kami menyarankan para tetamu untuk menggunakan perkhidmatan panggilan langsung ini apabila perlu sahaja supaya kami dapat mengutamakan bantuan kepada tetamu yang lebih memerlukan,” katanya. 

Sehingga Februari 2023, AirAsia berkata pihaknya telah melunaskan 98.4 peratus daripada tuntutan bayaran balik yang diterimanya sejak bermula pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

Syarikat penerbangan itu berkata pembayaran telah dibuat dalam pelbagai bentuk yang berjumlah sehingga US$2.1 bilion (US$1=RM4.42).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here