KUALA LUMPUR, 31 Mac – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 untuk perbelanjaan tambahan berjumlah RM60,174,928,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan.

RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dan diluluskan selepas perbahasan serentak pada peringkat dasar dan jawatankuasa lewat petang ini.

Ahmad berkata perbelanjaan tambahan itu melibatkan perkhidmatan dan maksud yang dinyatakan dalam Jadual bagi tahun 2022 yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya oleh Akta Perbekalan 2022 (Akta A1638).

“Anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama tahun 2022 yang dibentangkan adalah untuk membiayai perbelanjaan bekalan,” katanya.

RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM60,174,928,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan dan maksud yang dinyatakan dalam Jadual bagi tahun 2022 yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya oleh Akta Perbekalan 2022 (Akta A1638).

Perbelanjaan tambahan tersebut akan melibatkan 10 perkhidmatan, apabila Perkhidmatan Am Perbendaharaan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM52,776,595,400, diikuti peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun (RM2,241,548,100) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM2,058,146,000).

Selain itu, Perbendaharaan menerima peruntukan sebanyak RM1,191,328,300, Kementerian Pendidikan (RM803,613,600), Kementerian Kesihatan (RM676,518,300), Kementerian Pertahanan (RM303,726,600), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM84,822,600), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM24,531,500) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM14,097,600).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Isnin, 3 April.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here