BEIJING, 4 April – China berharap Jepun menunjukkan kebijaksanaan dan tanggungjawab dalam bidang politik, bekerjasama dengan China untuk mengukuhkan saluran dialog dan komunikasi, menggalakkan kerjasama praktikal dan mengawal perselisihan dengan baik bagi membina hubungan bilateral yang selaras dengan keperluan era baru.

Demikian ujar Menteri Luar China, Qin Gang ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Yoshimasa Hayashi di Beijing pada Ahad.

Qin berkata, empat dokumen politik antara China dan Jepun telah meletakkan asas politik dan undang-undang untuk hubungan dua hala.

“Menunaikan janji dan menimba pengajaran daripada sejarah adalah prasyarat penting untuk perkembangan hubungan China-Jepun yang mantap dan jangka panjang,” ujar beliau.

Qin dalam perbincangan itu menyifatkan pelepasan air tercemar nuklear dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi ke laut sebagai isu penting yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan manusia, dan Jepun harus menangani pelupusan secara bertanggungjawab.

Beliau turut menyifatkan isu Taiwan sebagai isu yang melibatkan kepentingan teras China, selain berkaitan dengan asas politik hubungan China-Jepun.

“China menggesa Jepun untuk mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub dalam empat dokumen politik antara kedua-dua negara dan menunaikan komitmennya, tidak mencampuriisu Taiwan atau menjejaskan kedaulatan China dalam apa jua bentuk,” kata Qin.

Yoshimasa dalam kenyataannya pula berkata bahawa Jepun bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai antara pemimpin kedua-dua negara.

Beliau berkata, Jepun juga berpegang kepada empat dokumen politik antara Jepun dan China, selain mahu mempergiatkan pertukaran pada semua peringkat dan kerjasama praktikal.

Menurut Yoshimasa, Jepun juga akan mengendalikan isu-isu yang menjadi perhatian masing-masing dengan baik bagi menggalakkan pembinaan hubungan Jepun-China yang konstruktif dan stabil, selain bersama-sama memberikan sumbangan positif kepada kemakmuran serta kestabilan serantau dan global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here