KUALA LUMPUR, 13 April – TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet (eWallet) telah memperkenalkan GOprotect, platform yang membolehkan pengguna membeli pelbagai jenis tawaran insurans dengan mudah melalui aplikasi eWallet.

GOprotect menawarkan enam produk insurans melalui aplikasi eWallet iaitu WalletSafe, SafeTrip, SafeHome, CarInsure, CI Insure dan MotoInsure untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

“Dengan GOprotect, pengguna eWallet boleh membeli pelan insurans dalam masa kurang daripada tiga minit selepas membandingkan sebut harga daripada rakan kongsi insurans terkemuka kami seperti AlA Malaysia, Allianz, Etiqa, MSIG, Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia dan Zurich Takaful.

“Pengguna juga diberi jaminan proses tuntutan tanpa sebarang kerumitan melalui talian hotline tuntutan penanggung insurans sepanjang masa,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa pelancaran hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata lebih daripada dua juta polisi telah dikeluarkan melalui eWallet sejak pelancaran produk insurans pertamanya pada Julai 2021, sambil menambah 1.5 juta polisi telah dikeluarkan tahun lepas.

“Kami bercadang untuk menggandakan jumlah polisi yang dikeluarkan tahun ini dan akan terus menambah baik penembusan insurans keseluruhan, terutamanya dalam kalangan kumpulan B40 yang mana ia masih sangat rendah iaitu hanya 30 peratus.

“Melalui kerjasama rapat dengan rakan kongsi insurans kami yang dipercayai, TNG eWallet akan memperkenalkan lebih banyak produk insurans nilai untuk wang dalam masa terdekat,” katanya.

Ni berkata syarikat itu sentiasa membayangkan TNG eWallet menjadi alternatif sehenti kepada penyelesaian perbankan, membolehkan pengguna mengakses rangkaian penuh produk perkhidmatan kewangan.

“Kami selangkah lebih dekat dengan visi itu dengan pelancaran GOprotect hari ini, dan kami akan teruskan perancangan itu dengan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangan kami yang akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada pengguna kami,” tambahnya.

Maklumat lanjut mengenai GOprotect boleh melayari https://www.touchngo.com.my/consumer/insurance. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here