ALOR GAJAH, 17 April – Kementerian Pertahanan sedang menyusun pelbagai pendekatan dalam usaha memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan anak tentera khususnya di peringkat pengajian tinggi.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata antara inisiatif yang dilakukan kementerian itu ialah mengadakan pertemuan dengan Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk merangka program bersesuaian seperti latihan berkaitan TVET dan padanan pekerjaan untuk anak tentera.

“Terdapat banyak skim bantuan pendidikan di peringkat diploma dan ijazah yang disediakan di kementerian terutama di bawah Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selain bantuan one-off kepada anak tentera yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Anak tentera juga merupakan satu kumpulan yang agak besar tetapi mereka yang memilih melanjutkan pengajian dalam bidang TVET agak kurang dan kita juga sebelum ini banyak tumpu memperkasakan TVET dalam kalangan anggota pertahanan yang hendak pencen,”  katanya.

Beliau berkata usaha memperkasa TVET dalam kalangan anak tentera bukan sahaja memberi latihan yang bersesuaian dengan mereka tetapi juga menyediakan sumber manusia berkemahiran dan berkualiti khususnya untuk industri di negara ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi Majlis TVET negara untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan terutama dalam bidang TVET.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here