MOSCOW, 17 April – Kempen pilihan raya bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menerima sumbangan derma AS$15.4 juta dalam tempoh dua minggu selepas pendakwaan terhadapnya.

Pihak kempen bekas presiden itu memberitahu penyiar CNN bahawa tuduhan terhadap Trump menguntungkannya daripada segi politik dan kewangan, menyatukan penyokongnya dan memperoleh tambahan AS$15.4 juta untuk kempen pilihan raya ketiganya.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac, Trump menerima sumbangan daripada 541,971 penyokongnya, dengan jumlah purata derma sebanyak AS$34, lapor media memetik pihak kempen itu.

Selepas pertuduhan difailkan terhadap bekas presiden AS itu pada akhir Mac, beliau menerima 312,564 sumbangan dengan purata derma kira-kira AS$49 dalam tempoh dua minggu sahaja.

Pada 31 Mac, pihak kempen Trump berkata beliau menerima AS$4 juta dalam tempoh 24 jam pertama selepas pengumuman pendakwaan terhadapnya.

Trump didakwa dengan 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan berhubung penglibatannya dalam pembayaran wang sogokan AS$130,000 melibatkan hubungan sulit dengan pelakon filem lucah Stormy Daniels semasa kempen presidennya pada 2016.

Trump mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, dengan dakwaan diubah daripada salah laku kepada jenayah kerana penipuan itu dikaitkan dengan pelanggaran undang-undang pilihan raya dan cukai.

Trump juga menghadapi tiga siasatan tambahan berkaitan peranannya dalam rusuhan 6 Januari, penemuan dokumen sulit di rumahnya di Florida dan dakwaan campur tangan terhadap keputusan pilihan raya Georgia 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here