KUALA LUMPUR, 22 April – Pemenang pingat boccia pertama Malaysia dalam Sukan Paralimpik, Chew Wei Lun, berharap sukan itu akan berkembang lebih besar di peringkat kebangsaan dan global.

Atlet berusia 28 tahun itu, yang bersara sejurus selepas mencipta sejarah meraih pingat perak pada Paralimpik Tokyo 2020, berharap dapat berkongsi tentang sukan itu dengan orang lain kerana beliau mahu melihat atlet Malaysia yang lain mengatasi pencapaiannya.

“Saya ingin memberitahu orang ramai tentang boccia kerana, jika mereka mempunyai rakan atau ahli keluarga yang kurang upaya seperti saya (cerebral palsy), mereka juga boleh mencuba sukan itu. Siapa tahu, mereka mungkin mempunyai bakat terpendam dalam boccia.

“Agak sukar juga untuk mencari pemain untuk mewakili Malaysia (seperti negara lain). Itu juga salah satu sebab saya ingin mempromosikan boccia,” tulisnya di laman web rasmi Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Pada September 2021,  Chew Wei Lun menghadiahkan Malaysia dengan pingat perak dalam acara kategori individu campuran (BC1) pada penampilan sulung pada temasya sukan itu.

Difahamkan, atlet Johor itu, yang mula bermain boccia – permainan strategi dan ketepatan – untuk keseronokan pada usia 10 tahun, tidak pernah menyangka beliau akan mewakili negara di Paralimpik dan mencipta sejarah sebagai pemenang pingat.

“Di Malaysia, tidak ramai yang tahu apa itu boccia…malah tidak pernah mendengarnya. Saya baru sahaja pergi ke Tokyo 2020 untuk melakukan kerja saya. Saya adalah satu-satunya yang layak ke Tokyo dan misi saya adalah untuk mempromosikan sukan itu,” tulisnya di laman IPC.

Boccia merupakan permainan melempar bola berwarna merah dan biru di atas permukaan rata dan licin dengan tujuan mencapai atau mendekati sasaran bola putih  disebut ‘Jack”.

Pemain atau pasukan mengumpul mata berdasarkan bola paling mendekati bola ‘Jack’ dan semakin dekat jarak bola dengan sasaran, semakin besar peluang untuk memenangi pertandingan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here