KUALA LUMPUR, 27 April – Perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di  Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), terhenti pada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, semalam. 

Pemain ranking ke-25 dunia itu ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 17-21, 18-21 dalam pertarungan  yang berlangsung selama 42 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Ini merupakan kali pertama Tze Yong tewas kepada pemain ranking ke-20 dunia itu, selepas menewaskan Cheuk Yiu di Terbuka Singapura pada Julai lepas. 

Cheuk Yiu dijadual bertemu pemain ke-10 dunia, Shi Yu Qi dari China pada pusingan kedua esok, yang mendapat laluan mudah di pusingan pertama apabila pemain pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie menarik diri daripada meneruskan saingan.  

Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan aksi mantap dengan menumpaskan P.S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar dari India, 21-12, 21-17, dalam pertarungan yang berlangsung selama 28 minit. 

Pasangan ranking ke-28 dunia itu dijadual bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang juga pilihan keempat kejohanan pada pusingan kedua esok. 

Pemain perseorangan wanita profesional negara, S Kisona juga mengalami nasib yang sama dengan Tze Yong apabila hanya mampu beraksi di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong, 21-18, 15-21, 13-21. 

Pornpawee yang berada di kedudukan ke-10 dunia akan bertemu pasangan pilihan keenam kejohanan Wang Zhi Yi dari China pada pusingan kedua esok. 

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See juga terpaksa pulang awal apabila ditewaskan gandingan India, Rohan Kapoor-Reddy Sikki, 12-21,16-21, manakala beregu wanita profesional negara, Ng Qi Xuan-Teoh Le Xuan tunduk kepada juara bertahan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, 3-21, 10-21. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here