SEPANG, 27 April – Ketua pasukan skuad kriket wanita negara, Winifred Anne Duraisingam tekad menukar warna pingat dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur iaitu gangsa kepada emas pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Biarpun Persatuan Kriket Malaysia (MCA) meletakkan sasaran tiga perak di Kemboja, Winifred sebaliknya percaya Malaysia dapat menyapu bersih ketiga-tiga emas bagi acara Ten10 (T10), Twenty20 (T20) dan 50-overs dalam saingan berlangsung di AZ Group Cricket Oval, Hun Sen Boulevard.

Keyakinan dilaungkan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, Selangor itu dapat dilihat apabila beliau mendapati semangat rakan sepasukannya jelas membara dalam misi mengharumkan nama negara pada temasya sukan dwitahunan tersebut kali ini.

“Saya lihat wajah kesemua pemain sangat teruja dan latihan juga berlangsung dengan cukup positif…harap kita dapat banggakan Malaysia dengan meraih emas di Sukan SEA 2023,” katanya.

Menyedari status Thailand yang menjadi pasukan pilihan dan seterusnya mampu menggugat buruan emas negara di Kemboja, Winifred tidak gentar dengan kelebihan dimiliki pasukan lawan kerana skuad kebangsaan berpotensi menjinakkan mereka kelak.

“Kita tahu Thailand pernah beraksi di Piala Dunia selain menjuarai acara T20 di Sukan SEA 2017 namun kita akan lawan dan buktikan boleh lakukannya demi Malaysia,” katanya.

Pemain yang berperanan sebagai bowler di atas padang itu juga berkata pengalaman diraihnya ketika beraksi bersama pasukan Tornadoes pada Kejohanan Jemputan FairBreak T20 (T20 FairBreak International) di Hong Kong, baru-baru ini, membantu meningkatkan prestasinya menjelang aksi di Kemboja.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata beliau akan menurunkan tips serta pengalaman bermain bersama jaguh kriket dunia antaranya Australia, New Zealand, Sri Lanka dan Pakistan di Hong Kong kepada pemain negara sebagai tonik tambahan menghadapi saingan pada Sukan SEA 2023.

Seorang lagi bowler, Aisya Eleesa Erni Firdauz, 20, mengakui teruja untuk membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA.

“Gementar sudah semestinya ada, namun saya akan gunakan segala pengalaman lalu termasuk beraksi di Piala Asia Wanita T20 di Bangladesh tahun lepas serta latihan untuk dibawa ke dalam perlawanan kami di Kemboja,” katanya.

Untuk saingan T10, skuad negara yang dibarisi 15 pemain diundi bersama Thailand dan Singapura dalam Kumpulan A manakala bagi acara T20 pula menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina serta Myanmar.

Saingan 50-overs pula menyaksikan Malaysia sekali lagi diundi bersama Thailand dan Myanmar dalam Kumpulan A.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here