PUTRAJAYA, 8 Mei – Pembangkang masih perlu mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang ditugaskan berunding dengan wakil pembangkang berhubung isu pengagihan peruntukan ketika ditanya mengenai perkembangan isu berkenaan berkata cadangan itu perlu memandangkan kerajaan sekarang bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi Kerajaan Perpaduan.

“Masih tunggu cadangan dari mereka (pembangkang). Mereka kata tidak perlu cadangan. Tapi kena ingat ini bukan lagi kerajaan Pakatan Harapan, ini Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

 Pada 6 April lepas, dilaporkan tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Fadillah mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang.

Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin.

Fadillah berkata parti pembangkang perlu mengemukakan cadangan peruntukan supaya dapat menjalin kerjasama ke arah kestabilan politik.

“Jadi kita perlu minta mereka kemukakan cadangan (peruntukan) bagaimana dengan peruntukan itu kita boleh jalinkan kerjasama ke arah memastikan negara lebih stabil dari segi politik. Itu yang kita nak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here