KUALA PERLIS, 9 Mei – Kerajaan menyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus syarikat francaisor tempatan didaftarkan di bawah Akta Francais 1998 pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata setakat 31 Mac tahun ini sejumlah 693 francais telah berdaftar di negara ini, dengan 58 peratus daripada jumlah itu adalah jenama tempatan.

“Francais ini merupakan satu perniagaan yang kita amat galakkan untuk dilakukan para usahawan kerana ia sudah melalui proses-proses penjenamaan, pemasaran dan sebagainya.

“Ia sudah ada sistem, jadi akan membantu usahawan untuk tidak bermula dari kosong, belajar dari awal, buat kesilapan dan kadang-kadang memerlukan masa lama untuk membina syarikat,” katanya.

Beliau berkata perniagaan industri francais sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha membantu usahawan tempatan berkembang sehingga pasaran luar negara.

Menurut beliau, setakat ini lebih 2,000 outlet francais tempatan telah beroperasi di 75 buah negara melibatkan 68 jenama.

Sementara itu, Fuziah berkata Sistem Aduan Suri KPDN yang dilancarkan sejak Januari telah menerima 4,273 aduan pengguna sehingga 30 April lepas dengan lebih 90 peratus daripada aduan itu telah diselesaikan.

Katanya, antara aduan tertinggi adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu 30.54 peratus, harga (27.78 peratus) dan perkhidmatan mengelirukan (16.97 peratus).

“Setiap aduan hanya memerlukan tempoh 14 hari untuk diselesaikan dan sejak diperkenalkan Januari lepas aduan diterima sudah mencecah lebih 4,000 berbanding sepanjang tahun lepas yang melibatkan lebih 20,000 aduan.

“Ini menunjukan kesedaran pengguna khususnya golongan wanita terhadap isu-isu dan hak sebagai pengguna. Aduan Suri ini kita baharu buat beberapa bulan, saya yakin jumlah aduan akan meningkat lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here