KUALA LUMPUR, 13 Mei – Kejayaan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dianugerahkan pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) membuktikan amalan piawaian tadbir urus yang baik dan teguh dalam agensi itu, kata pengerusinya Datuk Hazimah Zainuddin.

Beliau berkata pensijilan yang dianugerahkan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd dan The International Certification Network (IQNet) itu berkuat kuasa sejak 27 Jan lepas.

Katanya ISO 37001:2016 ABMS itu mematuhi prinsip liabiliti korporat seperti yang ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sekali gus membuktikan komitmen Pernas terhadap perkhidmatan berintegriti demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Pensijilan ini menunjukkan komitmen berterusan Pernas dalam mewujudkan persekitaran yang adil, bersih dan bebas rasuah serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan profesional dalam aktiviti perniagaan harian kami.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi tahap kedudukan sikap sifar toleransi Pernas terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi,” katanya.

Menurut Hazimah, sebelum ini Pernas sudah melaksanakan beberapa inisiatif membasmi elemen-elemen rasuah dalam agensi itu termasuk mengemas kini Polisi Anti-Rasuah dan Korupsi, mewujudkan saluran pemberian maklumat (whistleblowing), serta membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (Pernas OACP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here