KUCHING, 13 Mei – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu meletakkan Sarawak sebagai ibu kota legasi pertama bagi acara perniagaan di Malaysia dan Borneo.

Beliau berkata ini susulan langkah Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Nusantara, Kalimantan yang akan memacu pembangunan baharu di Borneo.

“Kita tidak boleh lagi membataskan pemikiran kita semata-mata kepada Sarawak sahaja. Kita mesti mengamalkan perspektif lebih luas yang menggabungkan peluang yang ada di Borneo.

“Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara telah membangun dan apabila selesai, industri acara perniagaan kita sewajarnya bersedia untuk merebut peluang ini,” katanya.

Menurutnya acara perniagaan akan menjadi penyumbang kukuh kepada pembangunan sosial dan keluaran dalam negara kasar Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata Business Event Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri akan melancarkan Pelan Tindakan Induk Impak Legasi pada pameran perdagangan IMEX di Frankfurt, Jerman pada 23 hingga 25 Mei ini.

Selain itu, beliau berkata, program Anugerah Anak Sarawak akan digantikan dengan Anugerah Pencetus Legasi Borneo yang memberikan penghormatan kepada pemimpin acara perniagaan yang mempamerkan kecemerlangan dalam legasi kepimpinan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here