KUALA LUMPUR, 1 Jun – Malaysia dan Turkiye bersetuju menjalin hubungan dua hala yang lebih erat susulan pemilihan semula Recep Tayyip Erdogan sebagai presiden republik itu baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di laman Facebook hari ini memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan ketika Erdogan menghubungi beliau semalam.

“Kami bersetuju untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye serta bersedia untuk mengangkat kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih baik dan lancar. 

“Saya juga mengambil kesempatan untuk menjemput TYT Recep Tayyip Erdogan untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya. 

Menurut Anwar, beliau turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan Erdogan pada pilihan raya presiden Turkiye baru-baru ini. 

Perdana Menteri berkata beliau mengagumi ketabahan dan kesabaran Erdogan dalam mendepani pelbagai cabaran untuk memenangi pilihan raya itu. 

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut berkongsi video berdurasi empat minit yang memaparkan perbualan telefon beliau dan Erdogan dengan dibantu oleh penterjemah.

Erdogan turut menzahirkan komitmen beliau untuk membawa hubungan dua hala Turkiye dan Malaysia ke tahap lebih tinggi yang dipersetujui Anwar. 

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan bahawa Erdogan memenangi pilihan raya penentu apabila menewaskan pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Malaysia dan Turkiye telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1964.

Pada tahun lepas, Turkiye merupakan rakan dagang serta destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import keenam paling utama dalam kalangan negara Timur Tengah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here