MANJUNG, 4 Jun – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Anugerah Gemilang Emas bagi memilih pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan di kementerian itu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata penerima anugerah akan diberikan penghargaan dan ganjaran mengikuti kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara.

“Kita akan pilih datuk bandar terbaik, yang dipertua paling cemerlang dan lain-lain, dan mana-mana pegawai kerajaan yang cemerlang berpeluang menimba ilmu ke universiti terkenal seperti Harvard, Stanford atau Oxford.

“Ini adalah dari segi pakej. Mana-mana pegawai yang paling cemerlang akan menerima anugerah daripada Perdana Menteri sendiri pada 11 Nov depan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berhasrat menjadikan KPKT sebagai pusat kecemerlangan dengan hala tuju berdasarkan kepada prestasi warganya.

Pada Januari lepas, Nga dilaporkan berkata kementerian bakal memberikan Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun ini.

Majlis penyampaian anugerah yang julung kali diadakan dan layak disertai oleh kira-kira 20,000 warga kerja KPKT itu, juga akan diadakan pada November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here