SEGAMAT, 7 Jun – Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM900,000 tahun ini bagi projek pembenihan ikan air tawar, udang dan penternakan ikan baung di negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata daripada peruntukan berkenaan, RM750,000 akan digunakan untuk projek pembenihan ikan air tawar dan udang.

Beliau berkata bakinya adalah khusus untuk projek penternakan ikan baung yang akan dilaksanakan di daerah Segamat melalui Jabatan Pertanian negeri dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, Johor mempunyai dua pusat pembenihan ikan air tawar sedia ada iaitu di Kulai dan Pontian. Dengan peruntukan berkenaan, kita akan tambah baik, selain mewujudkan satu lagi pusat pembenihan berkenaan di Segamat.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan buka sebuah pusat penternakan ikan baung juga di Segamat dalam meningkatkan lagi jumlah pengeluaran ikan berkenaan,” katanya.

“Setiap tahun kita akan melepaskan 500,000 hingga 700,000 ekor ikan air tawar serta udang ke kawasan perairan di Johor dan saya dimaklumkan sekarang ini benih berkenaan tidak mencukupi, terpaksa dari daripada negeri lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here