Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara ke tahap perkongsian strategik, ketika berunding di Dewan Besar Rakyat Beijing, pada Rabu.

Xi berkata, isu Palestin telah berlarutan selama lebih setengah abad dan membawa kesengsaraan teruk kepada rakyat negara itu.

Justeru, beliau mengemukakan tiga cadangan bagi menangani isu itu, antaranya pembinaan negara Palestin merdeka yang mempunyai kedaulatan penuh dengan berasaskan garis sempadan yang ditetapkan pada 1967 serta menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Di samping itu, Xi mencadangkan agar keperluan kehidupan rakyat dan ekonomi Palestin perlu diberi jaminan. Oleh itu, masyarakat antarabangsa seharusnya menggandakan sokongan pembangunan dan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

Dalam cadangan terakhirnya, beliau meminta supaya arah betul rundingan damai terus dipertahankan.

“Masyarakat antarabangsa perlu menghormati status Baitulmuqaddis sebagai tempat suci agama dalam sejarah, mengelakkan kenyataan dan tindakan melampau dan bersifat provokasi, mengadakan persidangan kedamaian antarabangsa yang berskala lebih besar, berwibawa dan berpengaruh supaya dapat membina suasana kondusif bagi pemulihan rundingan damai serta membantu Palestin dan Israel hidup bersama secara damai,” jelas Xi.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk berperanan positif dalam usaha mewujudkan persefahaman dalaman di Palestin dan rundingan damai.

Abbas dalam ucapannya pula menyatakan bahawa Palestin menyokong Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif  Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemuakan oleh Presiden Xi.

Beliau turut menzahirkan pujian kepada China atas usaha menjayakan rundingan antara Arab Saudi dengan Iran, serta menghargai pelbagai cadangan China untuk menyelesaikan isu Palestin secara adil dengan secepat mungkin.

“Palestin yakin terhadap pendirian China yang bijak serta adil, dan (kami) menanti-nantikan China untuk berperanan lebih besar bagi mewujudkan persefahaman dalaman Palestin dan kedamaian di Asia Barat,” tambah Abbas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here