KUALA LUMPUR, 16 Jun – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 2,699 projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), bermula 2021 hingga 2023.

Kementerian Ekonomi berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 projek pembangunan telah siap sepenuhnya, 1,161 projek sedang dilaksanakan dan 1,456 projek masih belum bermula pelaksanaan fizikal.

“Parlimen Ranau menjadi kawasan tertinggi yang menerima 90 kelulusan, yang mana sejumlah 61 projek diluluskan belum mula dilaksanakan, manakala 29 projek lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Bagi negeri Sarawak, Bintulu menerima 73 kelulusan projek yang mana 31 daripadanya sedang berjalan,” kata kementerian berkenaan.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) yang ingin tahu jumlah projek pembangunan di Sabah dan Sarawak dlm RMKe-12.

Sementara itu, bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai prestasi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dari segi penciptaan ekonomi baharu, Kementerian Ekonomi berkata ECERDC telah merekodkan pencapaian pelaburan direalisasi sehingga 2022 sebanyak RM3.9 bilion.

Selain itu, pewujudan peluang pekerjaan serta keusahawanan kepada penduduk di wilayah ECER adalah masing-masing sebanyak 27,413 dan 6,238 dalam tempoh yang sama.

Katanya, antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di ECER adalah Taman Industri Halal Pasir Mas, Taman Biopolimer Kertih dan Taman Industri Tok Bali.

“Pelaksanaan projek ini dijangka berupaya menarik pelaburan berkualiti, menyediakan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan di wilayah tersebut,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here