SUNGAI PETANI, 18 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkasa pentadbiran pejabat daerah di seluruh negara bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata walaupun kerajaan hari ini memberi keutamaan kepada projek besar dan berdepan cabaran anjakan perubahan dunia dari segi teknologi digital serta ekonomi namun usaha menjamin kesejahteraan rakyat tidak akan diabaikan.

“Saya nak tekankan bahawa sementara tumpuan kita dalam projek-projek besar, teknologi moden dengan ekonomi yang mencabar sekarang ini diberi keutamaan, kita akan memperkasa pejabat daerah, pegawai jajahan di Kelantan dan di Sarawak serta Sabah.

“Ini strategi kita memperkasa tugas pegawai daerah dan pejabat daerah… kita dah beri perhatian yang lebih dan percayalah, bila saya bagi perhatian yang lebih makna kata semua bantuan sokongan akan diperkemas,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan peruntukan khusus sebanyak RM100,000 bagi kegunaan setiap pejabat daerah.

Perdana Menteri turut meminta semua pegawai daerah menyerahkan laporan prestasi projek bermasalah dan menyenaraikan keperluan masing-masing kepada beliau selewat-lewatnya Jumaat depan supaya tindakan segera boleh diambil.

Katanya kerajaan juga akan mempertimbang untuk meluluskan penambahan jurutera kontrak bagi pejabat daerah yang berprestasi baik dan memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here