JOHOR BAHRU, 18 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa perkara berhubung hal semasa ekonomi negara esok, termasuk langkah menangani kejatuhan ringgit, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bercakap pada sidang media selepas melawat Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) Johor di sini hari ini, menurutnya pengumuman itu dijangka diadakan semasa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan melancarkan satu program di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung rancangan Kementerian Kewangan untuk menangani kejatuhan ringgit.

Sementara itu, Ahmad berkata Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa ketiga yang akan dibayar sebelum Hari Raya Aidiladha, melibatkan seramai 8.4 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM2.14 bilion.

“Tiga kumpulan yang akan menerima STR adalah isi rumah sebanyak 3.9 juta orang, warga emas tiada pasangan berjumlah 1.2 juta orang dan golongan bujang sebanyak 3.3 juta orang,” katanya.

Katanya individu yang tidak terpilih untuk menerima bantuan boleh membuat rayuan di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri atau secara dalam talian bermula 1 Julai.

Dalam pada itu, Ahmad berkata BSN menyediakan peruntukan sebanyak RM900 juta pada tahun ini bagi Skim Mikro Kasih Belia, Skim Mikro Penjaja Kecil dan Skim Mikro Wanita.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk mengambil peluang mendapatkan pembiayaan berjumlah RM5,000 sehingga RM50,000.

Menurutnya sejumlah RM1.6 bilion bagi Skim Pembiayaan Mikro Kecil dan Sederhana pula telah disalurkan kepada 72,000 penerima di seluruh negara sejak 2020 sehingga kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here