KUALA NERUS, 20 Jun – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyarankan agar semua kementerian yang mengendalikan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bekerjasama lebih aktif dengan pemain industri swasta ke arah memperkasakan program TVET negara.

Menterinya V.Sivakumar berkata perkara itu merupakan antara isu yang akan dibawa beliau ke dalam perbincangan di Majlis TVET Negara (MTVET), yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhir bulan ini. 

Beliau berkata ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dalam mesyuarai di MTVET nanti, antaranya ialah pencapaian Kementerian Sumber Manusia setakat ini, yang berkaitan kolaborasi dengan pihak industri swasta.

“Sebenarnya bawah MTVET ini bukan kita (KSM) sahaja, tapi semua kementerian yang menjalankan TVET pun ada (dalam MTVET), jadi bukan kita sahaja yang yang perlukan kolaborasi ini, kita mahu semua kementerian lain untuk wujudkan kerjasama dengan industri swasta,” katanya. 

Sivakumar yang sebelum itu turut serta dalam Dialog Industri Setempat bersama pemain industri dan penyedia latihan TVET di Zon Pantai Timur berkata isu ‘underemployment‘ juga akan dibawa dalam majlis itu meskipun ia sudah beberapa kali disentuh Ahmad Zahid sebelum ini. 

“Beliau pernah sebut satu daripada masalah kenapa ramai tak pilih TVET adalah disebabkan gaji dan upah yang rendah. Kita tidak boleh bayar pekerja yang ada kelulusan TVET sama dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada gaji minimum.

“Seperti apa yang disebut Timbalan Perdana Menteri mereka sekurang-kurangnya harus dibayar RM3,000,” katanya. 

Sementara itu dalam merujuk laporan Future of Jobs Report 2023 oleh World Economic Forum yang menyatakan bahawa 69 juta pekerjaan baharu akan terhasil dalam tempoh lima tahun akan datang, Sivakumar berkata sebahagian besarnya akan dipelopori oleh bidang TVET. 

“Empat kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan yang stabil adalah dalam lapangan yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET, seperti operator atau pengendali mesin dan teknologi, penganalisis teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengajar atau pelatih vokasional.

“Itu sebabnya kenapa kebanyakan kerja yang baru diperkenalkan sejak kebelakangan ini adalah kerja-kerja yang perlukan kemahiran ini, yang berkaitan dengan perubahan dari segi teknologi seperti AI. Dalam lima ke 10 tahun akan datang kita perlukan lebih ramai tenaga kerja yang memiliki kemahiran ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here