KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) berjaya merekodkan jualan sejumlah RM2.39 bilion pada edisi ke-18 tahun lepas, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara pada Selasa, kementerian berkata jumlah itu terdiri daripada jualan yang dilaporkan oleh pempamer pameran sebanyak RM1.65 bilion dan RM745.2 juta jualan daripada program penyumberan antarabangsa.

Dalam pada itu, MITI berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk melaksanakan MIHAS di luar Kuala Lumpur.

Katanya pelbagai faktor perlu diambil kira terutamanya infrastruktur dan fasiliti tersedia serta kemudahan logistik bagi menampung jumlah pempamer dan pelawat tempatan dan antarabangsa bagi penganjuran MIHAS.

“Bagaimanapun, MITI dan MATRADE tiada halangan untuk mempertimbangkan untuk menganjurkan pameran perdagangan MIHAS ini di negeri lain, termasuklah Sarawak, sekiranya terdapat infrastruktur, fasiliti dan kemudahan logistik tersedia yang dapat menampung keperluan penganjuran,” kata MITI.

MITI menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim sama ada kementerian berhasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai tuan rumah kepada MIHAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here