MELAKA, 22 Jun – Semua aduan rakyat yang disalurkan kepada agensi dan jabatan terlibat pada Program Hari Bertemu Rakyat atau ‘Open Day’ perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata aduan berkenaan akan diteliti dan dibawa dalam mesyuarat berkaitan sebelum maklum balas diberikan kepada pengadu secara bertulis.

“Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi mereka dan ada antara mereka yang telah berdepan isu tersebut dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hari Bertemu Rakyat yang diadakan sebulan sekali di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), bermula 9 pagi hingga 5 petang, serta turut dihadiri ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.

Ab Rauf berkata isu atau permasalahan yang diajukan pada program berkenaan akan dikumpulkan mengikut kategori pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah terlibat bagi mengenal pasti penduduk atau kawasan yang banyak berdepan isu.

Berdasarkan pendekatan itu, katanya fokus penyelesaian dapat diutamakan di kawasan terlibat dan ia juga akan menjadi petunjuk prestasi utama jabatan terlibat bagi melihat tahap kecekapan mereka menyelesaikan isu rakyat.

“Usaha ini dilakukan kerana saya ingin menjadikan Melaka sebuah negeri yang dinamik dan progresif terutama dalam menyelesaikan masalah dan isu rakyat yang seharusnya kita tangani sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 65 jabatan dan agensi terpilih di negeri itu terlibat pada Program Hari Bertemu Rakyat yang bertujuan menyampaikan maklumat terkini tentang sesuatu perkhidmatan dan kemudahan disediakan kerajaan, selain mewujudkan budaya mesra pelanggan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf pelayan Portal Awam eTanah Melaka yang ketika ini dilihat berada di tahap maksimum dan menghampiri jangka hayatnya

“Salah satu sumber pendapatan utama kerajaan negeri ialah cukai tanah dan premium, jadi kita berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan satu pelayan baharu bagi Portal Awam eTanah Melaka kerana jika sistem itu ‘crash’ ia akan menjejaskan kutipan cukai berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here