GOPENG, 23 Jun – Penganjuran program Fiesta Makanan, Bunga dan Buah (FAMA Fest) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diperluaskan ke seluruh negara, bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan produk berasaskan pertanian dan industri asas tani dengan harga berpatutan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin bagaimanapun berkata penganjurannya akan mengambil kira kemampuan penganjur serta kapasiti sesuatu lokasi, sebelum ia dilaksanakan.

Beliau berkata sebelum ini untuk 2023, penganjuran FAMA Fest dirancangkan untuk diadakan di lima negeri iaitu Perak, Sarawak, Johor, Pulau Pinang serta Terengganu.

“Ini sesuatu yang saya rasa memang boleh kita laksanakan dan kita akan koordinasi di antara agensi dan jabatan kerajaan, untuk kita sama-sama jayakannya,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun, serta Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.

Terdahulu, Chan dalam ucapannya berkata pihaknya nenyasarkan nilai jualan keseluruhan program FAMA  Fest pada tahun ini ialah sebanyak RM5 juta, dengan penglibatan seramai 300 orang usahawan.

Beliau berkata Program FAMA Fest yang bermula sejak 2017, diadakan juga bertujuan mewujudkan platform kepada petani dan usahawan memasarkan produk keluaran mereka, selain dapat mempromosi dan memperkenalkan produk mereka dengan lebih meluas lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here