KUALA NERANG, 23 Jun – Pertandingan Durian Kampung Premium menjadi platform kepada pemilik dusun di Kedah mengetengahkan buah yang berkualiti tinggi sekali gus berpotensi dikomersialkan dalam pasaran lebih luas setanding Musang King dan Duri Hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kedah Datuk Azman Nasrudin berkata pertandingan seperti itu membolehkan Jabatan Pertanian negeri mengenal pasti durian bertaraf premium untuk didaftarkan agar mampu menembusi pasaran global.

“Kita nak angkat durian kampung yang asli. Kita galakkan semua pemilik dusun durian kampung yang dilihat berpotensi untuk diangkat menjadi durian kampung premium menyertai pertandingan seperti ini,” katanya.

Pertandingan itu disertai 15 pemilik dusun dan Durian Haji Said dari Kampung Baru, Lubuk Merbau dinobat sebagai juara.

Dalam pada itu, Azman berkata bekalan lembu untuk sambutan Aidiladha adalah mencukupi di Kedah.

“Bekalan lembu mencukupi. Sampai hari ini saya tak dengar lagi aduan daripada mana-mana pihak mengatakan lembu tak mencukupi… cuma saya jangkakan harga mungkin naik sikit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here