KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kadar inflasi Malaysia terus mereda pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus dalam bulan sebelumnya.

Dalam kenyataannya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata keadaan itu disumbangkan terutamanya oleh penurunan dalam makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatat 5.9 peratus (April 2023 : 6.3 peratus); pengangkutan 1.0 peratus (April 2023: 2.3 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 2.7 peratus (April 2023: 3.0 peratus).

Kenaikan inflasi di Malaysia bagaimanapun, kekal didorong oleh peningkatan indeks restoran dan hotel yang mencecah 6.7 peratus berbanding 6.6 peratus pada April 2023.

“Wajaran masing-masing bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus); pengangkutan (14.6 peratus) serta restoran dan hotel (2.9 peratus) yang meliputi 47.0 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP, turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup,” katanya.

Sebagai perbandingan dengan negara terpilih bagi tempoh Mei 2023, DOSM berkata kadar inflasi Malaysia sebanyak 2.8 peratus itu lebih rendah berbanding Zon Eropah pada 6.1 peratus; Amerika Syarikat (4.0 peratus); Filipina (6.1 peratus); Indonesia (4.0 peratus) dan Korea Selatan (3.3 peratus).

Selain itu, inflasi di peringkat negeri menyaksikan tujuh negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.5 peratus); Selangor (3.3 peratus); Perak (3.2 peratus); Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus); Pahang (3.1 peratus); Melaka (3.1 peratus) dan Sabah (3.0 peratus).

Bagi inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan, mencatat peningkatan lebih perlahan kepada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus pada April 2023.

Menurut DOSM, kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 7.1 peratus daripada 7.2% manakala restoran dan hotel 6.7 peratus berbanding 6.6 peratus dalam bulan sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here