BEIJING, 29 Jun – China bersedia bersama Mongolia untuk saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama satu sama lain.

Demikian dinyatakan Perdana Menteri China Li Qiang ketika ditemui rakan sejawatnya dari Mongolia, Luvsannamsrai Oyun-Erdene di Beijing pada Rabu.

Li berkata China sudi memperkasa kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang dan berkongsi peluang baharu yang dibawa menerusi pembangunan sendiri dengan Mongolia.

Beliau menekankan perlunya kedua-dua negara meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan, memantapkan usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperlancar aktiviti perdagangan dan pelaburan, serta memperluas kerjasama membabitkan perlombongan dan tenaga.

“Sinergi juga perlu dipergiat untuk mengukuhkan kesalinghubungan pintu sempadan, mengintensifkan kerjasama berkaitan kawalan penggurunan, di samping memperluas pertukaran dan interaksi dalam bidang pelancongan, pendidikan dan sebagainya,” ujar Li.

Beliau menambah bahawa China akan terus memberi sokongan dan bantuan yang seboleh mungkin kepada pembangunan sosioekonomi Mongolia.

Oyun-Erdene pula berkata pihaknya bersedia mengukuhkan penyelarasan Visi 2050 Mongolia dengan BRI serta Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI).

Beliau turut meluahkan hasrat Mongolia untuk memperdalam kerjasama dengan China melibatkan tenaga dan perlombongan, usaha memerangi desertifikasi dan lain-lain sehingga melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here