IPOH, 8 Julai — Orang ramai dipelawa menyertai program 6,600 Langkah Perpaduan pada 16 Julai ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Acara yang bermula pada 6.30 pagi itu terbahagi kepada dua kategori iaitu fun run sejauh 5 kilometer (km) dan fun walk 1.5km.

Menurut laman Facebook Merdeka360, orang ramai yang ingin menyertai program berkenaan boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR atau layari www.merdeka360.my.

Pendaftaran adalah percuma.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 berkenaan pada 9 pagi.

Pelbagai acara menarik turut diadakan bermula 15 Julai antaranya Jualan Rahmah, jualan barangan runcit dan buah-buahan, pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, kuiz kenegaraan, persembahan nyanyian dan kebudayaan, pertandingan Bintang Patriotik serta jualan makanan berkonsep trak makanan.

Turut diadakan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Legasi Merdeka” pada 9 malam, 15 Julai serta Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 yang akan bermula pada 16 Julai.

Sementara itu, selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023, Perdana Menteri turut dijadual melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 di lokasi sama.

Konvoi berkenaan akan menjelajah seluruh negara bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 menyasarkan penyertaan sebanyak 66 kenderaan di setiap checkpoint, signifikan dengan sambutan ke-66 tahun kemerdekaan tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here