IPOH, 9 Julai — Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) menyasarkan 50,000 pemegang kad keahlian untuk tahun hadapan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengurus Besar Kanan Operasi Sunway Theme Parks Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan kepada jumlah pengunjung dan faktor ekonomi.

“Bagi tahun 2024, kita mahu meningkatkan jumlah keahlian kepada 50,000 di LWOT,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keadaan ekonomi selepas fasa pemulihan akibat COVID-19 amat memberangsangkan apabila industri pelancongan di negara ini semakin pulih dengan kemasukan pelancong luar.

“Tahun ini sahaja selepas beralih ke fasa pemulihan, perniagaan dilihat semakin pulih walaupun masih belum mencapai sasaran, tetapi sudah ada tarikan positif.

“Ekonomi negara perlu stabil dan ada peningkatan supaya orang ramai tidak mempunyai masalah untuk berbelanja ke arah hiburan dan pelancongan. Tanpa ekonomi yang kukuh, sektor pelancongan akan menjadi perkara terakhir yang orang mahu belanjakan. Jadi, ekonomi perlu bertambah baik untuk memastikan sektor tersebut (pelancongan) turut sama-sama lebih baik,” katanya.

LWOT yang mengambil masa kira-kira 21 minit dari pusat bandar raya Ipoh sering menjadi pilihan pengunjung daripada pelbagai lapisan usia kerana lokasi dan tarikan di taman itu.

Taman Tema berkonsep mesra alam atau ‘eco-friendly’ itu mempunyai kelengkapan aktiviti ‘outdoor’ dalam keadaan yang terkawal.

“Seperti yang kita tahu, penggemar alam semula jadi akan memacak khemah, mandi di sungai dan memasak menggunakan unggun api di dalam hutan, tetapi di LWOT, kita telah menyediakan segala kelengkapan itu kepada mereka yang baru berjinak-jinak menceburi aktiviti tersebut.

“Selain hotel di LWOT, kita ada ‘glamping’ dan vila terapung bagi pengunjung membuat pilihan. Masih berkonsepkan aktiviti ‘outdoor’, tetapi tidur di katil, makanan dan segala kelengkapan disediakan,” kata beliau.

Katanya, kawasan seluas 40 ekar itu menyediakan pelbagai aktiviti ‘outdoor’ selain taman tema air dan ‘petting zoo’ untuk penggemar alam semula jadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here