SUBANG, 12 Julai – Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyarankan agar Akta Perkhidmatan Parlimen 2023 diperkenal bagi menggantikan atau meminda Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 (disemak 1988) serta Peraturan Mesyuarat Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Beliau berkata Akta Perkhidmatan Parlimen 2023 akan memberikan kebebasan kewangan serta pembentukan Suruhanjaya bagi Perkhidmatan, Tatatertib dan Kewangan selain menentukan sendiri jumlah perbelanjaannya.

“Ini juga akan memberikan hak kepada Parlimen untuk mengambil serta memecat kakitangannya dan kebebasan untuk membuat keputusan mengenai perkara berkaitan,” katanya.

Wan Junaidi turut mencadangkan rang undang-undang bagi memperkenal akta baharu atau meminda Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 (disemak 1988) bagi memperuntuk hukuman terhadap pelbagai pelanggaran keistimewaan dan etika di bawah Peraturan Mesyuarat di kedua-dua dewan. 

Beliau berkata rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggesa kerajaan membentang dan membahaskan kertas kerja mengenai hasrat kerajaan mengadakan perjanjian dua hala atau pelbagai hala atau menarik diri daripada bekerjsama dengan mana-mana negara asing.

Merujuk perjanjian yang dimeterai baru-baru ini berkaitan sempadan martitim di Selat Melaka dan Laut Sulawesi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo, beliau berkata ia akan membantu Ahli Parlimen serta orang awam agar tidak ketinggalan dalam isu nasional.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata pindaan itu juga akan membolehkan kerajaan diminta membahaskan hasratnya untuk menarik balik kes, pertikaian atau penyelesaian dengan mana-mana negara asing seperti dalam kes Batu Puteh.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu turut mencadangkan agar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 1956 serta Peraturan Mesyuarat Dewan Negara 1960 dipinda bagi mewujudkan peruntukan dan peraturan yang berkaitan dengan persidangan Parlimen semasa rehat, titah atau perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pindaan itu adalah untuk menyediakan peruntukan bagi pembentangan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian dan memperkenal peruntukan serta peraturan untuk mengemukakan usul bagi memecat Perdana Menteri atau Menteri di Dewan Rakyat seperti di United Kingdom di mana bekas Perdana Menteri Tony Blair dipecat pada 2004.

“Kita sepatutnya mempunyai peruntukan itu dalam peraturan kita, undi tidak percaya atau undi percaya dan jika ahli persendirian membentangkannya termasuk ketua pembangkang, ia tertakluk kepada peraturan am iaitu fungsi kerajaan tidak diberikan keutamaan dan anda tidak nampak usulnya,” katanya.

Wan Junaidi turut mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah Ahli Dewan Negara dengan meminda Perkara 45(4) Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan empat belia daripada Institusi Pengajian Tinggi melalui pemilihan secara terus.

Selain mengekalkan 40 ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan dua orang dari setiap negeri yang dipilih, beliau berkata enam pengamal undang-undang perlu dilantik dari Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.

Penceramah forum itu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta bekas Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here