JOHOR BAHRU, 12 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini berpendapat bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuat permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) semasa menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya berpendapat, SPRM semasa membuat tangkapan ke atas orang yang disyaki (OYDS) mempunyai pilihan untuk memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ atau memberikan jaminan selaras dengan peruntukan Seksyen 49(2)(a), (b) atau (c) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata pihak SPRM diberi kuasa yang luas untuk memilih peruntukan Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009 atau memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ.

“Tujuan badan Parlimen menggubal Akta SPRM 2009 untuk menangani gejala rasuah perlu diberi keutamaan. Peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 tidak boleh dibaca secara rigid sehingga menjejaskan atau menggagalkan proses siasatan SPRM.

“Pihak SPRM bergantung kepada fakta sesuatu kes tangkapan boleh menentukan cara dan bagaimana siasatan akan dijalankan. Pihak SPRM  tidak diwajibkan untuk memberikan jaminan terlebih dahulu sebagaimana peruntukan Seksyen 49(2) Akta SPRM 2009,” katanya.

Dua individu berkenaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Abu Bakar berkata pihak SPRM diberi pilihan untuk memberikan jaminan ke atas OYDS jika siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam atau memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ.

“Mahkamah berpendapat puan Majistret (Mahkamah Majistret di sini) semasa menimbangkan permohonan reman oleh pihak SPRM, mindanya hanya tertumpu kepada kes Mahkamah Tinggi Temerloh semata-mata tanpa melihat permohonan reman dari sudut yang lain sebagaimana yang dihuraikan di atas,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata memandangkan dua individu berkenaan telahpun dibebaskan, ia telah menjadi suatu perkara yang akademik dan mahkamah tidak berhasrat untuk mengeluarkan apa-apa perintah dalam permohonan semakan itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan Pendakwaan SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding itu berkata SPRM berpuas hati dengan Mahkamah Tinggi di sini, yang memberi penjelasan secara teliti berhubung pemakaian Seksyen 117 KTJ dalam permohonan reman bagi mana-mana kes.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi di sini jelas menunjukkan SPRM tidak terikat dengan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 dalam permohonan reman sepertimana yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi Temerloh.

“Keputusan Mahkamah Tinggi di sini memberi penjelasan yang penting tentang pemakaian undang-undang berkenaan reman dan secara jelas SPRM sebenarnya tidak terikat dengan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 seperti keputusan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh,” katanya. 

Wan Shaharuddin berkata pihaknya berharap, mana-mana Majistret selepas ini akan melihat lebih mendalam tentang keputusan Mahkamah Tinggi di sini dalam membenarkan permohonan reman sekali gus membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan lebih teliti dan lengkap.

“Ramai Majistret kata mereka terikat dengan Mahkamah Tinggi Temerloh, saya tidak kata ia salah, tetapi apa yang kami mahukan adalah pemahaman tentang undang-undang itu diguna pakai bukan hanya mengikut sahaja keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan,” kata beliau.

SPRM menfailkan permohonan semakan itu pada 15 Jun lalu selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru yang mendengar permohonan reman di bawah Seksyen 117 KTJ itu, memberikan alasan bahawa SPRM gagal mematuhi peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

Dalam membuat keputusan reman itu, Majistret R. Salini mengguna pakai keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh dan berpendapat terdapat kecacatan dalam siasatan SPRM.

Pada 11 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Temerloh Roslan Mat Nor memutuskan SPRM perlu menggunakan aktanya sendiri dan tidak bergantung kepada KTJ kerana Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk membenarkan jaminan ditunda supaya penyiasatan dapat diteruskan selepas 24 jam pertama penahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here