KUALA LUMPUR, 26 Julai – Edisi keenam Expo Malaysia Fest pada 27 hingga 30 Julai ini di Hall 5, Singapore Expo, Singapura bakal menjadi penganjuran terbesar melibatkan 278 reruai usahawan yang mempromosikan lebih 2,000 produk keluaran Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata antara produk yang akan dibawa ialah dua tan metrik longan kristal dari Sarawak, 10 tan metrik buah-buah bermusim seperti nangka, cempedak, manggis, rambutan, salak madu, ciku dan pamelo selain 3,000 papan petai.

Beliau berkata jualan buah-buahan itu akan berlangsung di satu daripada komponen pameran berkonsepkan Fruit Empire yang mempromosikan buah-buah bermusim dan eksotik dari seluruh Malaysia sekali gus memenuhi permintaan di Singapura.

Katanya kerajaan Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Kelantan pula akan membawa usahawan mereka sambil mempromosikan pelbagai produk seperti cuka rambutan dan dokong iaitu produk inovasi pengganti cuka epal (Kelantan) selain Jeruk Madu Pak Ali (Pulau Pinang).

“FAMA bersama pihak penganjur juga julung kalinya akan mengadakan sesi jaringan perniagaan bagi menyuaipadankan usahawan Malaysia bersama pengimport dari Singapura melibatkan 13 pemain industri negara itu terdiri daripada organisasi perdagangan, pengusaha pasar raya, restoran, fesyen dan logistik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Rashid berkata sesi jaringan perniagaan itu akan berlangsung di Peridot Room, Max Atria, Singapore Expo.

Menurutnya FAMA menjangkakan Expo Malaysia Fest akan menarik kira-kira 120,000 pengunjung seterusnya menjana nilai jualan langsung RM10 juta selain potensi nilai eksport RM25 juta.

“Kita berharap melalui program ini lebih banyak produk agromakanan Malaysia dapat dipasarkan di Singapura seterusnya memudahkan pengguna di sana mendapat bekalan produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata sebagai agensi pemasaran tunggal di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, FAMA berusaha secara berterusan untuk membangun dan memperkukuhkan pasaran bagi produk agromakanan negara di pasaran tempatan mahupun di peringkat global.

Expo Malaysia Fest yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Fresh Fruit Fiesta (M3F) bermula pada 2004 hingga 2015 telah memberi manfaat kepada 920 usahawan tani serta menjana nilai jualan terkumpul RM28.9 juta.

Selepas dijenamakan semula pada 2016, lima edisi Expo Malaysia Fest sebelum ini telah memberi manfaat kepada 1,190 usahawan Malaysia dan menjana nilai jualan terkumpul RM34.7 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here