PUTRAJAYA, 31 Julai – Acara sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan gah seperti tahun sebelumnya, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 berkata warga KKD akan mengusahakan yang terbaik agar sambutan itu berjalan lancar. 

“Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Putrajaya. Insya-Allah sambutan tahun ini tidak kurang gahnya berbanding tahun-tahun lalu dan sudah pasti menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya. 

Beliau sebelum ini mengumumkan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan HKHM tahun ini.

Tema itu selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Sementara itu, Fahmi berkata memori mengenai jasa dan bakti Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri wajar disubur dan disegarkan kerana beliau perlu dingati sebagai ‘Bapa Perpaduan’. 

“Beliau juga perlu dikenang sebagai Bapa Perpaduan yang menjadi seorang daripada ‘arkitek’ kepada Rukun Negara dan inilah yang menyebabkan saya dan Jemaah Menteri lain melihat ada keperluan dan kewajaran untuk segarkan dan ingatkan balik.

“…bukan sekadar bacaan Rukun Negara tetapi inti pati dan maknanya, tidak guna kalau sebut taat setia kepada raja tetapi dalam hati kita ia tidak ada makna,” katanya.

KKD akan mengadakan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj-Tonggak Perpaduan Negara, sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka pada Rabu ini (2 Ogos), bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan majlis berkenaan yang dijangka dihadiri oleh 15,000 jemputan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here