SHAH ALAM, 10 Ogos – Kerugian akibat kes penipuan atau ‘scammer’ diunjurkan mampu mencecah hingga RM1.2 bilion pada hujung tahun ini jika kesedaran dalam kalangan orang awam berkaitan jenayah itu masih kurang. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata unjuran itu diperoleh daripada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini semasa pembentangan kertas Majlis Sosial Negara yang antara komponen laporannya ialah berkaitan jenayah ‘scammer.’ 

“Ini bermaksud jenayah ini semakin serius maka antara usaha polis kini juga harus bersifat mewujudkan kesedaran awam supaya tidak menghampiri atau terjebak (daripada menjadi mangsa scammer),” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di sini hari ini.

Beliau turut melahirkan kekhuatiran jika trend itu semakin meningkat, jumlah kerugian akan melepasi jenayah konvensional seperti curi kenderaan. 

Saifuddin Nasution juga diminta mengulas laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon notis merah polis antarabangsa terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu yang dipercayai melarikan diri dalam kes penyelewengan projek di sebuah kementerian.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri akan melihat bentuk kerjasama yang diperlukan oleh SPRM bagi permohonan itu. 

“Saya nak sebut ini dahulu, setakat kenyataan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ia kekal begitu dulu, saya tak mahu menceroboh dalam bidang kuasa dia,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here