BEIJING, 9 Ogos — Operasi import dan eksport perdagangan komoditi China menyaksikan kestabilan, selaras dengan jangkaan prospek ekonomi China yang dipercayai kekal kondusif untuk jangka masa panjang.

Memetik data rasmi Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada Selasa, jumlah import eksport China menyaksikan peningkatan 0.4 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas sebanyak RMB23.55 trilion (RM14.95 trilion).

Daripada angka itu, eksport meningkat 1.5 peratus dengan mencatat RMB13.47 trilion (RM8.55 trilion), manakala import susut 1.1 peratus dengan menokok RMB10.08 trilion (RM6.4 trilion).

Menurut Pengarah Jabatan Penganalisisan Statistik GACC, Lyu Daliang, jumlah perdagangan luar bulanan China kekal melebihi skala RMB3.4 trilion (RM2.16 trilion) sejak suku kedua tahun ini.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, ASEAN kekal sebagai rakan dagang terbesar China.

Berdasarkan statistik GACC, jumlah import dan eksport China dengan ASEAN meningkat 2.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan menokok RMB3.59 trilion (RM2.28 trilion).

Angka itu secara tidak langsung menyumbang 15.3 peratus kepada jumlah keseluruhan perdagangan luar China.

Selain itu, jumlah import dan eksport antara China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus kepada RMB8.06 trilion (RM5.12 trilion).

Dalam perkembangan lain, jumlah import dan eksport antara China dengan rakan dagang lima negara Asia Tengah, Amerika Latin dan Afrika juga menyaksikan pertumbuhan kukuh yang mencerminkan kerjasama antara rantau semakin rapat, perdagangan yang pelbagai dan struktur pasaran antarabangsa kian dioptimumkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here