WASHINGTON, 21 Ogos (Bernama) — Joe Biden akan menerima pencalonan presiden Parti Demokrat dalam pidato malam ini yang djangka memfokuskan kepada bagaimana Amerika Syarikat (AS) dapat membangunkan kembali dan muncul semula lebih kuat selepas krisis COVID-19, demikian yang dilaporkan oleh agensi berita Sputnik.

Biden secara rasmi akan menerima pencalonan parti Demokrat pada Khamis,  iaitu hari terakhir konvensyen nasional empat malam yang diadakan secara maya, di Milwaukee, Wisconsin.

Awal hari itu, Biden meminta para pengundi supaya tidak melepaskan Presiden Donald Trump kerana gagal memberikan tindak balas yang tepat terhadap krisis COVID-19.

“Donald Trump tidak bertanggungjawab terhadap COVID-19, tetapi beliau bertanggungjawab penuh ke atas kegagalan tindak balas kebangsaan. Kita harus memastikan beliau  bertanggungjawab pada November ini,” kata Biden melalui Twitter pada Khamis.

Timbalan Pengurus Kempen Biden, Kate Bedingfield, menurut Wall Street Journal, menyatakan beliau akan menggunakan pidatonya untuk “mengangkat kekuatan rakyat Amerika dan meletakkan visi bagaimana kita akan membangun kembali dengan lebih baik dan bangkit daripada krisis ini lebih kuat daripada sebelumnya. “

Sepanjang tiga malam pertama konvensyen, rakan-rakan Demokrat Biden telah menyasarkan cara Trump menangani krisis COVID-19 di AS dan menuduhnya kurang kepimpinan.

Program pada Khamis, menurut Jawatankuasa Konvensyen Nasional Demokratik (DNCC), akan menyoroti latar belakang dan pengalaman Biden dalam menangani konflik global, kemelesetan, pandemik dan politik perpecahan.

Penceramah termasuk Senator AS Chris Coons, Cory Booker, Tammy Baldwin, Tammy Duckworth, dan anak Biden, Ashley dan Hunter Biden.

Peguam peribadi Trump, Rudy Giuliani, menyelar Hunter Biden berhubung pelaburan kontroversi yang dibuat di China.

“Hunter Biden berucap di DNC malam ini,” ciap Giuliani menerusi Twitter. “Saya tertanya-tanya apakah ucapannya juga dibuat di China seperti wangnya?”

Hunter Biden dituduh menerima pelaburan besar dari China sebagai pertukaran pengaruh politik daripada bapanya yang ketika itu adalah Naib Presiden AS.

Ahli perniagaan dan bekas calon presiden Demokrat Andrew Yang, Datuk Bandar Bend Selatan Pete Buttigieg, dan Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms juga akan hadir.

Pada Rabu, Senator Kamala Harris menerima pencalonan untuk menjadi gandingan Biden. Beliau akan menjadi wanita pertama dalam sejarah AS yang menjadi naib presiden sekiranya  pencalonan Biden kekal pada November.

Konvensyen Nasional Republikan dijadual berlangsung 24-27 Ogos di Charlotte, Carolina Utara. Trump menyatakan beliau akan menyampaikan ucapan penerimaannya dari halaman Rumah Putih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here